Gua Ikan merupakan antara gua yang paling unik terdapat di negeri Kelantan. Ianya mendapat nama Gua Ikan dek kerana struktur batu kapur gua ini yang membentuk seperti ikan. Gua ini terhasil daripada kerangan laut zaman purba.

Tarikan rekreasi alam semulajadi yang terkenal di Kelantan ini amat menarik kerana selain Gua Ikan, terdapat beberapa lagi jenis gua lain yang direntangi oleh anak sungai yang jernih. Kompleks gua yang masih belum diterokai sepenuhnya ini cukup memukau para pengunjungnya.

Jika ke sini, korang boleh menikmati keindahan flora dan fauna sambil meneroka keindahan struktur gua dan dindingnya yang unik. Sangat menarik jika dapat bergambar di sini.

Mengenai Gua Ikan, ia juga mempunyai kecantikan tersendiri apabila terdapat laluan air di bawahnya. Selain itu, terdapat juga ‘bumbung’ gua yang agak rapat menjadikan aktiviti pengembaraan lasak ini lebih menarik. Selain menerokai Gua Ikan, pengunjung juga dapat melakukan aktiviti mendaki tembok batu yang mempunyai 23 laluan pendakian mencabar serta boleh juga menguji kemampuan diri melakukan via ferrata.